Sepertimana cantik dan indahnya tersergam banglo yang gah tetapi tidak mempunyai kelengkapan untuk penghuninya sebegitulah solat yang dilakukan tanpa Sunat Hai'at. Ia berperanan sebagai penambah nilai dan melengkapkan kesempurnaan solat seseorang itu.
TAKRIF
Hai'at adalah kata nama jamak daripada perkataan hai'ah yang bermaksud sifat sesuatu benda.
SYARAK
Hai'at ialah sunat-sunat dalam solat yang tidak mengapa jika ditinggalkan dan tidak disunatkan menampungnya dengan sujud sahwi.
SUNAT-SUNAT HAI'AT
1. Mengangkat kedua-dua tangan ketika takbiratulihram, ketika rukuk dan
bangun daripada rukuk.
2. Meletakkan tangan kanan di atas belakang tangan kiri ketika berdiri.
3. Melihat ke tempat sujud.
4. Membaca doa iftitah selepas takbiratulihram.
5. Membaca isti'azah selepas doa iftitah iaitu sebelum Bismillah untuk
membaca surah al-Fatihah.
(Lafaz isti'azah yang biasa digunakan, Maksudnya: "Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam)
6. Membaca dengan suara yang kuat di tempat-tempat tertentu.
Di dalam solat berjemaah jahriyah adalah solat di mana imam mengeraskan bacaannya seperti solat Subuh dan rakaat pertama dan kedua solat Maghrib dan Isyak.
7. Membaca dengan perlahan ditempat-tempat tertentu.
Di dalam solat berjemaah siriyah adalah solat di mana imam menyembunyikan bacaannya seperti solat Zuhur, Asar, rakaat ke tiga solat Maghrib dan rakaat ketiga dan keempat solat Isyak.
8. Mengaminkan bacaan Fatihah.
9. Membaca mana-mana surah Al-Quran selepas al-Fatihah.
10. Mengucapkan takbir ketika berpindah daripada rukun ke rukun yang lain.
11. Bertasbih ketika rukuk dan sujud.
12. Meletakkan kedua-dua tangan di atas peha ketika membaca tasyahud awal dan akhir.
13. Duduk tawaruk dan duduk iftirasy.
Tawaruk adalah keadaan duduk ketika membaca tasyahud akhir. Caranya ialah dengan menyengetkan punggung kirinya ke kiri hingga dia duduk di atas lantai, serta mendirikan kaki kanannya dan memasukkan kaki kiri di bawah kaki kanan.
Iftirasy adalah duduk di atas buku lali kiri dan mendirikan kaki kanan di atas hujung jari-jarinya.
14. Membaca selawat ibrahimiyah.
15. Memberi salam yang kedua.
16.Sentiasa khusyuk sepanjang solat.
SELAMAT MEMBACA DAN BERAMAL. WASSALAM.
Rujukan:
Ensiklopedia Solat oleh Rohidzir bin Rais, Fuad bin Ismail dan Mohd.Wahid bin Abd.Hanif. Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd